PENDANG, 16 Februari- Kerajaan Negeri Kedah bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menyasarkan peningkatan hasil padi sehingga lapan tan sehektar menjelang 2026.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sasaran berkenaan bakal dicapai menerusi Program Model Pengurusan Estet Padi (EMM) 2.0 yang akan dilaksanakan di kawasan seluas 64 hektar di Kampung Asam Jawa di sini, sejak tahun lalu.
"Ini adalah kesinambungan kejayaan Program EMM 1.0 yang diperkenal pada 2011 dan kita harap program yang menggunakan Sistem Pertanian Pintar (SPP) ini dapat diperluaskan ke semua kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Ini adalah kerjasama Kerajaan Negeri Kedah dan NCIA juga MADA sebagai satu model yang dipertingkatkan,” katanya selepas melawat Tapak Program EMM 2.0 Pendang pada Selasa.
Muhammad Sanusi berkata, pada musim lalu projek ini berjaya mencatatkan purata hasil padi hampir 4.7 tan per hektar dan ianya dikendalikan syarikat tempatan yang membabitkan penggunaan Internet Pelbagai Benda dan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0)
Sementara itu, Bernama melaporkan NCIA dalam satu kenyataan memaklumkan, Program EMM 2.0 mampu meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil tanaman padi sekali gus meningkatkan produktiviti pesawah di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menjelang tahun 2026.
“Program EMM 2.0 merupakan inisiatif strategik di bawah ‘NCIA Agribio Economic Zone’ (NAEZ) yang melibatkan dua kawasan yang lebih besar iaitu, ‘Transkrian Agri Hub’ dan ‘Chuping-Bukit Kayu Hitam Agri Belt’.
“Program ini dijangka dapat memberikan impak yang besar kepada agenda sekuriti makanan nasional dan juga memberi impak pada B40, dalam usaha meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi rakyat di NCER,” katanya.
Kenyataan itu menyebut program berkenaan yang selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0, merupakan satu model pengurusan penanaman padi yang menggabungkan komponen pertanian moden antaranya seperti pelaksanaan pengurusan sawah secara estet dan bersepadu, peningkatan kesuburan tanah sawah serta penambahbaikan infrastruktur.
“Penggunaan SPP akan menarik minat penyertaan golongan muda, serta menghasilkan petani yang tergolong dalam kelompok pekerja mahir dalam industri pertanian, dengan penggunaan peralatan terkini,” menurut kenyataan itu lagi.
Kenyataan NCIA itu menyatakan, SPP di bawah Program EMM dipantau kumpulan penasihat teknikal (TWG) yang terdiri daripada wakil agensi dan pakar tempatan, seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Program EMM 1.0 diperkenalkan pada tahun 2011 dengan melibatkan 2,000 hektar sawah di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang yang seterusnya diperluas ke beberapa lokasi lain di Kuala Muda Selatan, Asun dan Kerpan di Kedah dan Kerian, Perak termasuk sawah di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).