fb fb fb fb fb

Kedah mahu turut serta perancangan buka semula sempadan Malaysia-Thailand




PENDANG, 16 Februari- Kerajaan negeri memohon disertakan dalam perancangan pembukaan semula sempadan Malaysia-Thailand yang dijangka dalam tempoh terdekat ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata ia kerana negeri ini mempunyai pintu sempadan darat utama melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan ICQS Durian Burung.

Beliau berkata, kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju pintu sempadan melalui ICQS dibuka, namun kaedah-kaedah tertentu perlu digunakan dalam keadaan penularan COVID-19 semakin meningkat.

"Keputusan pembukaan sempadan adalah di peringkat Kerajaan Persekutuan, bagaimanapun kita minta terlibat sama kerana Kedah juga ada sempadan Malaysia-Thailand," katanya selepas Lawatan Kerja Ke Tapak Program Model Pengurusan Estet Padi (EMM) 2.0 di Kampung Asma Jawa, di sini pada Selasa.

Muhammad Sanusi berkata, setakat ini kerajaan negeri dimaklumkan pembukaan sempadan akan menggunakan kaedah tertentu seperti gelembung pelancong di Langkawi sebelum ini.

"Kalau pembukaan sempadan negara kena ada gelembung tertentu mengambil contoh macam di Langkawi difahamkan ada beberapa cadangan bagi mengendalikan pembukaan sempadan dengan beberapa kaedah macam gelembung pelancongan bukansewenang-wenangnya boleh rentas dengan kenderaan persendirian ada pengangkutan tertentu sahaja akan dibenarkan," katanya.

Beliau turut meminta penduduk Kedah terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berikutan negeri ini mencatatkan jangkitan harian COVID-19 tertinggi semalam dengan 2,733 kes, disebabkan masyarakat kembali kepada aktiviti harian selain kerana cuti perayaan dan penganjuran majlis sosial.

"Kita memang susah hati apabila berlaku peningkatan kes COVID-19 di negeri ini, kita minta agar Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk pantau selain penduduk perlu bekerjasama putuskan rantaian COVID-19," katanya.

Media Baharu