fb fb fb fb fb

Kedah catat penurunan kes jangkitan HFMD

ALOR SETAR, 22 Jun- Kes baharu Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Kedah terus menunjukkan penurunan.

Sebanyak 531 kes baharu direkodkan pada minggu Epidemiologi ke-24, turun 171 kes atau 24.4% berbanding minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kesemua kes yang dilaporkan menunjukkan gejala ringan dan diberikan rawatan pesakit luar.

Tiada kes yang mengalami komplikasi teruk atau memerlukan rawatan intensif.

"Jumlah keseluruhan kes HFMD di Kedah setakat ini sebanyak 5,425 dan terdapat satu wabak baharu HFMD dilaporkan melibatkan sebuah Taska.

"Taska berkenaan telah diarah tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Mohd Hayati juga berkata Daerah Kuala Muda masih mencatatkan bilangan kes tertinggi dengan 1,337 kes diikuti Kulim (806), Kubang Pasu (797) dan Kota Setar (537).

Sepanjang tempoh sama juga, sebanyak 51 wabak HFMD dilaporkan di Kedah, dengan 50 daripadanya atau 98% berlaku di pusat pendidikan awal seperti TASKA, TADIKA dan Pra-sekolah.

"Sebanyak 49 premis telah diarahkan tutup sementara atau ditutup secara sukarela bagi tujuan sanitasi dan mencegah jangkitan," tambahnya.

Media Baharu