ALOR SETAR, 15 Jun- Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi perkenan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 25 Jun ini.
Muhammad Sanusi berkata beliau akan mempersembahkan cadangan pembubaran, mewakili kerajaan negeri Kedah iaitu pada 28 Jun sempena hari Wukuf di Arafah.
"Saya perlu mendapat perkenan Tuanku terlebih dahulu dan akan menghadap pada 25 Jun ini. Saya bercadang persembahkan kepada Tuanku Sultan cadangan daripada kerajaan negeri iaitu pada 28 Jun ini bersempena hari Wukuf. Wukuf ini bermaksud berhenti. Berkenaan cadangan tersebut, ia bergantung kepada keputusan Tuanku," katanya kepada pemberita pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini.
Katanya, tindakan lanjut selepas pembubaran berkenaan adalah di bawah kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk hari penamaan calon dan hari pengundian.
Perikatan Nasional (PN) memiliki komposisi kerusi tertinggi di DUN Kedah dengan 21 kerusi dimana Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempunyai 15 kerusi diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan enam kerusi.
Pakatan Harapan (PH) pula memiliki 10 kerusi DUN, Barisan Nasional (BN) (dua kerusi) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) (dua kerusi).
(Foto BERNAMA)