fb fb fb fb fb

Kedah Agro diberi notis segera selesai isu gaji pekerja

Steven Sim Chee Keong

PUTRAJAYA, 13 Mac- Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengeluarkan notis kepada Kedah Agro Holdings Berhad untuk segera menyelesaikan tunggakan gaji pekerjanya.

Menterian Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, notis itu dikeluarkan pada Januari lalu.

Jelasnya, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tidak akan berkompromi dengan isu yang melanggar Seksyen 19 Akta Kerja 1955.

"Saya harap perkara ini boleh diselesaikan dengan secepat mungkin sebab ada lebih kurang 24 orang pekerja dalam syarikat tersebut yang tidak dibayar gaji sejak September lalu.

"Mereka (Kedah Agro) telah berjanji akan meminta satu bantuan daripada Kerajaan Negeri (Kedah), akan adakan mesyuarat dengan Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor) pada hari ini. Jadi saya harap mungkin selepas keputusan mesyuarat mereka, kita akan membuat keputusan yang seterusnya," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis Pelancaran Inisiatif Caruman Percuma Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di sini.

Sementara itu, KESUMA bersama Universiti Malaya (UM) sedang menjalankan kajian bagi merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.

Chee Keong berkata, laporan interim berkaitan kajian tersebut akan dibentang kepada Kabinet dalam tempoh tiga bulan akan datang.

"Kita sekarang berada dalam peringkat kajian bersama dengan UM. Satu kertas laporan interim akan dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh paling lama tiga bulan.

"Tetapi sekarang kita sedang melaksanakan kajian tentang terma rujukan fungsi pengurusan kewangan dan sebagainya keahlian surhanajaya bersama dengan UM," katanya.

Tambah beliau, kajian tersebut dilakukan bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig itu ketika berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, baru-baru ini.

SITI AISHAH MD ISA