PUTRAJAYA, 13 Mac- Festival Ramadan Putrajaya 2024 (FRP2024) kembali lagi dengan bertemakan "Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran" dalam menjadikan Putrajaya sebagai sebagai pusat sehenti menjual juadah berbuka puasa dan barangan keperluan menyambut hari raya.
Perbadanan Putrajaya dalam kenyataannya berkata enam komponen diketengahkan bagi penganjuran kali ini iaitu Bazar Ramadan Putrajaya, Anjung Syawal, Kiblat Walk dan Laman Iftar, Laman Berbuka Puasa, Food Truck Ramadan dan Pentas Utama FRP 2024.
"Komponen utama FRP2024 iaitu Bazar Ramadan Putrajaya bagi tahun ini menghimpunkan sehingga lebih daripada 1,000 jenis menu juadah berbuka puasa daripada 700 peniaga.
"Festival diadakan di lima lokasi sekitar Putrajaya iaitu Presint 3 (285 tapak), Presint 9 (50 tapak), Presint 11(100 tapak), Presint 14 (135 tapak) dan Presint 16 (120 tapak).
"Bazar beroperasi bermula semalam sehingga 9 April depan dari jam 3.00 petang hingga 8.00 malam," menurut kenyataan itu.
FRP2024 juga menampilkan Anjung Syawal pula iaitu bazar menjual barangan persiapan aidilfitri terbesar di Lembah Kelang dengan tempoh jualan di sepanjang bulan Ramadan.
Seramai lebih 250 peniaga menawarkan pelbagai jualan dan perkhidmatan persiapan Aidilfitri di samping jualan pra-Ramadan seperti jualan rahmah, back to school dan lain-lain.
Menariknya kali ini, terdapat komponen baharu yang dinamakan 'healing station' yang disediakan di kawasan Anjung Syawal bagi pengunjung berbuka puasa.
Sementara komponen Kiblat Walk dan Laman Iftar menyediakan 20 lot niaga juadah berbuka puasa, kemudahan kerusi meja berkonsep kafe luaran di perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Suasana santai ini telah menjadi tarikan pengunjung berbuka puasa bersama famili dan rakan-rakan.
Sementara itu antara tumpuan pengunjung yang menjadi lokasi ikonik setiap kali penganjuran FRP2024 iaitu Laman Berbuka Puasa yang terletak di kawasan padang rumput berhadapan Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Food Truck Ramadan disediakan menawarkan pilihan kepada pengunjung yang berkunjung ke Anjung Syawal untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.
Turut diadakan pengisian kerohanian sepanjang 30 hari Ramadan di Pentas Utama FRP2024 yang bermula pukul 5.00 petang hingga 7.00 malam dan bersambung selepas solat terawih.
Pengisian pentas utama FRP2024 akan dilaksanakan dengan kerjasama Tik Tok Malaysia selaku rakan strategik media sosial dan Geng Surau Putrajaya.
Antaranya tazkirah muzikal, penampilan selebriti hijrah dan pendakwah iaitu termasuklah Ustaz Prof Dr Izhar Arif, Ustaz Hazlin, Shamsul Ghau-Ghau, Ijam Medicine dan ramai lagi.
Tik Tok Malaysia juga akan menampilkan kehadiran "content creator" masakan seperti Khairulaming, Aminabid, Anaq Kiriman Heaven dan Tara_choi.
Mereka dijangka akan mengadakan sesi demo memasak secara live di aplikasi tersebut serta sesi meet and greet bersama peminat.
Tidak dilupakan program-program kerohanian yang merupakan kelaziman di setiap kali penganjuran FRP2024 iaitu Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Wilayah Putrajaya, Program Bubur Lambuk Wilayah Persekutuan Putrajaya, Minggu Infaq Putrajaya dan Program Nur Ramadan (sumbangan wang tunai kepada asnaf).
FRP2024 bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan keperluan berbuka puasa dan persiapan hari raya, tetapi turut mensasarkan kerjasama dengan agensi dan pemain indutri pelancongan yang ingin menjadikan Ramadan di Putrajaya sebagai Muslim Friendly Tourism.