fb fb fb fb fb

KEDA perlu utamakan keberkesanan projek dilaksanakan

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

PENDANG, 24 Mac- Peruntukan sebanyak RM50.716 juta yang disalurkan kerajaan Persekutuan kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) harus disusuli dengan keberhasilan dan keberkesanan projek yang dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia meliputi 11 projek prasarana, enam projek ekonomi dan pertanian serta lima projek modal insan dan usahawan.

"Biarpun kita lihat bahawa terdapat output daripada projek-projek yang dijalankan dan saya mengharapkan pengerusi KEDA yang baharu (Datuk Seri Jamil Khir Baharom) untuk melihat hasil atau keberhasilan (projeknya).

"Saya yakin keberkesanan kos atau cost effective harus menjadi agenda utama bukan sekadar berapa projek yang dijalankan tetapi keberkesanan sesuatu projek itu," katanya dalam sidang media ketika Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Felda Sungai Tiang di sini.

Ahmad Zahid turut memaklumkan KEDA turut diperuntukkan RM11.3 juta melalui sembilan program bantuan ekonomi dan keusahawan yang memfokuskan kepada peniaga, petani dan usahawan.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan geran hak milik rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Desa KEDA Teluk Teduri, Baling kepada 11 keluarga melibatkan peruntukan RM3 juta.

Turut disampaikan bantuan bagi Program Bantuan Ekonomi dan Keusahawanan KEDA berjumlah RM2.585 juta.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI