KUALA NERANG, 13 Februari - 5,173 buah rumah golongan miskin dibina di Kedah melalui Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) sejak penubuhannya pada tahun 1981.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah itu, sejumlah 1,311 buah rumah didirikan di 14 buah kampung tradisional.
Manakala 3, 862 buah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dibina di 44 buah kampung bawah Desa KEDA.
Katanya, pembinaan rumah-rumah tersebut dibuat secara penempatan berkelompok dalam satu kawasan bagi memudahkan penyaluran bantuan dan kemudahan sosial serta memupuk keharmonian dan perpaduan.
Menurutnya, projek pembangunan rumah-rumah kampung seperti itu telah dilaksanakan oleh KEDA sejak Rancangan Malaysia Keempat (RMKe-4) lagi dan masih diteruskan.
"Sasaran kita ialah orang-orang miskin yang ada di kampung kadang-kadang di situ satu rumah 3 keluarga, 4 keluarga jadi kita ambil salah satu keluarga itu duduk di sini dan yang keduanya sememangnya dasar pembangunan luar bandar untuk membantu rakyat miskin untuk kita usahakan," kata Mahdzir dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Taman Desa Pudina (PPK) Kubang Kenyeng, Naka, Padang Terap, di sini.
60 buah rumah dibina dengan kos keseluruhan RM9.5 juta yang menempatkan golongan kurang berkemampuan dengan bayaran bulanan RM64.
Seramai 23,775 orang golongan miskin telah menerima manfaat sejak program bantuan perumahan KEDA dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Keempat (RMKe-4).