GUA MUSANG, 13 Februari - Bekalan ayam dan telur menunjukkan peningkatan di pasaran seluruh negara selepas subsidi harga diperkenalkan kepada penternak sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM).
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, setakat semalam bekalan ayam meningkat 90 peratus dan telur sebanyak 93 peratus, berbanding sebelum ini hanya 85 peratus.
Tambahnya setiap hari, KPDNHEP akan melakukan pemantauan di lebih 2,700 pusat pemantauan runcit di seluruh negara.
"Semalam, kita dapati tahap keberadaan ayam dan telur telah meningkat 93 peratus untuk telur dan 90 peratus untuk bekalan ayam.
"Jadi ini menunjukkan bahawa dari segi bilangan premis-premis yang menjual dan membekalkan ayam kepada masyarakat dan pengguna mula bertambah dengan baik.
"Jadi kita berharap tahap keberadaan ini akan dapat diteruskan lagi supaya memudahkan pengguna-pengguna dan peniaga yang bergantung kepada kedua-dua komoditi ini untuk dapatkan bekalan akan meneruskan perniagaan mereka," kata Azman selepas mengadakan lawatan ke ladang ternakan ayam di Kampung Lepan Jaya di sini hari ini.
Pemantauan terhadap 6,589 premis termasuk penternak, pemborong dan peruncit juga mendapati mereka mematuhi harga yang ditetapkan.
Sejak 5 Februari lalu hanya terdapat enam kes penjualan telur dan ayam melebihi harga ditetapkan.