fb fb fb fb fb

Cadangan VTL Malaysia-Brunei melalui udara akan dibincang sempena lawatan rasmi PM

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Februari - Cadangan mewujudkan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) Malaysia-Brunei melalui udara antara perkara yang akan dibincangkan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Brunei selama dua hari bermula esok.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah berkata, lawatan itu melambangkan iltizam kerajaan untuk memperkukuh hubungan istimewa sedia ada antara kedua-dua negara, yang ditunjangi nilai Islam serta budaya Melayu sejak turun temurun.

"Lawatan rasmi ini merupakan lawatan kali pertama Datuk Seri Ismail Sabri ke Brunei sejak beliau dilantik menjadi Perdana Menteri pada Ogos tahun lepas.

"Selain VTL, Perdana Menteri dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah akan membincangkan mengenai kerjasama dalam bidang diplomasi kesihatan dan cadangan ke arah pengukuhan kerjasama dalam bidang ekonomi," katanya dalam sidang media pembuka tirai lawatan rasmi Perdana Menteri ke Brunei di sini.

Jelas beliau, Malaysia merupakan rakan dagangan keempat terbesar bagi Brunei.

Walaupun sempadan kedua-dua negara masih belum dibuka akibat pandemik COVID-19, namun perdagangan dua hala Malaysia-Brunei menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

"Pada tahun 2021, jumlah dagangan Malaysia dan Brunei adalah RM8.03 bilion, pada tahun sebelumnya jumlah dagangan hanya bernilai RM4.71 bilion, jadi terdapat peningkatan 70.4 peratus," katanya lagi.

Perdana Menteri dijangka tiba di Brunei pada pukul 8.20 malam esok, disambut Pengiran Muda, Al-Muhtadee Billah dalam Upacara Sambutan Rasmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Pada hari kedua lawatan, Datuk Seri Ismail Sabri dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman dan diraikan dalam Majlis Santapan Rasmi selepas itu.

Sebelum pulang ke tanah air, Perdana Menteri dijangka akan beramah mesra dengan diaspora Malaysia di Brunei di The Empire Hotel Brunei.

Lawatan rasmi Perdana Menteri turut diiringi isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin bersama tiga orang menteri iaitu Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Media Baharu