KUANTAN, 14 Oktober -China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) merekodkan kerugian lebih RM3 juta ekoran kes kecurian kabel dan komponen penghubung di jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejak Jun lalu.
Pengarah Keselamatan CCCECRL Seksyen 13, Shi Liang Hui berkata, setakat ini 32 kes dilaporkan dengan Pahang mencatat jumlah tertinggi iaitu 24 kes, diikuti Terengganu tujuh kes dan Kelantan satu kes.
“Dari bulan Jun hingga kini, jumlah kerugian akibat kecurian melebihi RM3 juta.
Kejadian berulang ini menjejaskan dan melambatkan kemajuan projek,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan tapak di Kampung Luit, Maran.
Bagi mengekang insiden berulang, CCCECRL melantik dua syarikat keselamatan, memasang lebih 50 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terlibat selain memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kes kecurian terbaharu direkodkan pada 10 Oktober lalu, dengan jajaran rel di Kuantan dikenal pasti sebagai kawasan paling terjejas.
Selain kabel, sebanyak 83 unit 'box choke transformer' yang dipasang di jajaran rel turut dilaporkan hilang.