PUTRAJAYA, 14 Oktober -Pentadbir sekolah yang terlibat dalam insiden pelajar maut ditikam di sebuah sekolah di Petaling Jaya akan dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi membantu siasatan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan siasatan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
“Kementerian Pendidikan (KPM) sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperkukuh pemantauan di semua sekolah.
Bagi membantu siasatan, pentadbir sekolah yang terlibat akan dipindahkan di PPD sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.
Dr Mohd Azam berkata demikian dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurut beliau, sebuah Jawatankuasa Khas turut ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan secara tuntas, telus dan adil.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail, mengesahkan seorang pelajar perempuan maut selepas dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki di dalam kawasan sekolah, pagi tadi.
Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suspek yang berusia 14 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.