fb fb fb fb fb

Kecurian kabel, MRL tingkat langkah keselamatan dan rondaan

Foto BERNAMA

BESUT, 9 Julai -Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mengambil langkah proaktif dalam menangani isu kecurian kabel yang dilaporkan berlaku di beberapa lokasi sepanjang pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), termasuk di Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, beberapa syarikat keselamatan telah dilantik untuk ditempatkan di kawasan berisiko, selain rondaan secara berkala turut dipertingkatkan dengan kerjasama pihak berkuasa.

Katanya, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana ia boleh menjejaskan jadual pelaksanaan serta memberi kesan kepada kelancaran operasi projek secara keseluruhan.

"Kami memohon kerjasama daripada pelbagai pihak, terutama pihak polis untuk meningkatkan kekerapan pemantauan. Sekiranya isu ini berterusan ia boleh menjejaskan proses ujian, pengujian dan pemasangan projek. Justeru, kerjasama erat antara semua pihak amat diperlukan bagi memastikan perkara ini tidak berulang," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Stesen ECRL Jerteh, di sini.

Sementara itu kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk membantu daripada segi penyelarasan di peringkat negeri.

Selain penguatkuasaan pihak berkuasa, komunikasi dua hala yang kukuh antara masyarakat kampung dan pihak berkuasa amat penting agar sebarang aktiviti mencurigakan dapat dilaporkan dengan segera.

TETITIA YUSOFF