fb fb fb fb fb

Mayat pemancing dibaham buaya ditemukan

Mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 2.28 petang.

LIMBANG, 9 Julai -Mayat seorang lelaki yang dilapor hilang dibaham buaya ketika memancing di tebing Sungai Kampung Pandam, Limbang semalam, ditemukan kira-kira pukul 2.28 petang tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, mangsa dikenali sebagai Karim Osman, 58, ditemukan dalam keadaan sempurna namun terdapat kesan gigitan buaya pada tubuhnya.

Mayat mangsa dijumpai kira-kira satu kilometer dari Pos Kawalan Bomba oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan sejak semalam.

Jasad mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR hari kedua hari ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.

Dalam kejadian semalam, mangsa dilaporkan ke sungai untuk memancing sekitar tengah hari, namun hanya peralatan memancing dan barangan peribadinya ditemui di lokasi kejadian.

Laporan kehilangan mangsa dibuat oleh penduduk.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN