(FOTO HIASAN)
JELEBU, 22 September- Sikap dan kecuaian pengguna lebuh raya antara faktor punca kemalangan.
Berikut respon Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Jalaludin Alias berhubung dakwaan lebuhraya di negara ini tidak selamat digunakan sehingga menyebabkan kemalangan.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa terdapat struktur dan keadaan lebuhraya itu sendiri menyebabkan berlakunya kemalangan.
"Saya sudah berikan penegasan dan juga sudah berikan rangka ataupon SOP kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia terutamanya kepada syarikat konsesi bahawa saya tidak boleh berkompromi dalam hal ehwal yang berkaitan kesilapan dan kecuaian kita yang boleh menyumbang kepada kemalangan apatah lagi menyumbang kepada kematian,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Intergrated Vector Management peringkat antarabangsa di Jelebu.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Jelebu memberitahu media, pemilihan Kampung Orang Asli Putra, sebagai lokasi lawatan kajian berikutan perkampungan itu merupakan penanda aras bagi lokaliti pedalaman lain mengawal penyakit bawaan vektor.
Kursus berkenaan disertai seramai 24 peserta terdiri daripada Ahli Kaji Serangga, Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pegawai Perubatan dari negara Asian seperti Vietnam, Filipina dan Laos.
(Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Jalaludin Alias)