fb fb fb fb fb

Kecekapan TH urus jemaah haji negara, dipuji

MAKKAH, 18 Jun- Jemaah haji Malaysia memuji kecekapan Tabung Haji (TH) dalam mengendalikan operasi dan pergerakan jemaah tahun ini, meskipun dalam situasi saat akhir dan tempoh masa yang singkat.

Bagi mereka sehingga kini aktiviti dan pergerakan jemaah teratur dan semua urusan lancar secara tidak langsung memberi keselesaan jemaah untuk beribadah.

Menurut jemaah haji, Abdul Halim Ibrahim dan Noor Azini Ab Aziz bersyukur dengan bantuan petugas dalam memastikan kelancaran urusan prosedur harian para jemaah haji negara.

"Terima kasih kepada pihak Tabung Haji yang telah menyediakan kemudahan dengan amat terbaik sekali kepada jemaah-jemaah haji Malaysia, kami memang terhutang budilah," kata Abdul Halim kepada RTM.

"Walaupun perkara ini terjadi di saat-saat akhir semua, terima kasihlah kepada pihak Tabung Haji. Banyak sangat membantu kami ni yang pertama kali sampai di sini. Kadang-kadang dengan tergesa-gesa semua. Jadi, servis mereka memang terbaiklah," kata Azini kepada RTM meluahkan rasa syukur dengan kelancaran urusan ibadah hajinya.


(Jemaah haji negara, Noor Azini Ab Aziz meluahkan ucapan terima kasih kepada Tabung Haji yang cekap menjaga urusan kebajikan dan prosedur haji jemaah negara)

Bagi Baharuden Sahul Hamid dan Zukefley Jaafar pula, komitmen petugas haji harus diberi penghargaan dalam menjaga kebajikan para jemaah semasa di tanah suci.

"Saya sebenarnya waktu dapat tahu memang terkejut sebab isteri saya yang dapat. Saya sebagai mahram, itu yang saya dapatlah. Oleh itu, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Tabung Haji kerana terpilih. Saya dan isteri amat bersyukur lah dapat datang hari ini, dan kami sangat teruja," kata Baharuden ketika ditemu bual RTM.

"Sebelum menghampiri hari wukuf, Tabung Haji ada buat ceramah mengingati cara-cara kita nak mengerjakan haji walaupun kita ada kursus hingga ke kursus perdana tapi di sini juga masih lagi Tabung Haji bagi penerangan," kata Zukefley kepada RTM.

Sementara itu Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman mengadakan lawatan ke pejabat operasi Mekah di bangunan Abraj Al-Janadriyah.

Antara yang dilawati ialah pejabat operasi masya’ir, unit bimbingan, operasi maktab, konsul haji, khidmat pelanggan, bilik media dan pentadbiran haji.

Beliau turut melawat maktab 46 dan 47 yang terletak di bangunan sama.

Sehingga kini, 6,075 jemaah dari 16 penerbangan telah pun tiba di tanah suci dengan 3,662 jemaah berada di Makkah manakala 2,414 di Madinah.


(Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman mengadakan lawatan ke pejabat operasi Mekah di bangunan
Abraj Al-Janadriyah dan sempat meluangkan masa bersama petugas haji)

Media Baharu