fb fb fb fb fb

APMM Johor terima tujuh bot bernilai lebih RM10 juta

JOHOR BAHRU, 18 Jun- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, menerima tujuh buah bot jenis Rigid Hull Fender Boat (RHFB) kelas Perkasa bernilai lebih RM10 juta.

Tiga buah bot diberi kepada Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, dua buah bot kepada Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi dan dua buah bot lagi kepada Zon Maritim Mersing.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, keutamaan agihan kepada Maritim Negeri yang terdedah kepada ancaman jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan migran dan dadah.


(Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som)

"Bot-bot ni saya boleh kategorikan sebagai bot laju yg tugasnya adalah untuk memintas sasaran-sasaran yang mencurigakan seperti kes penyeludupan pendatang asing tanpa izin, penyeludupan rokok dan kes-kes yang memerlukan kita sampai segera.

"Bot baru ini memiliki reka bentuk yang stabil dan mudah dikendalikan selain platform senjata juga tersedia", katanya.

Bot Perkasa tersebut mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 48 knot, sekali gus mencapai piawaian reka bentuk yang diperlukan dan menjadi aset terbaik pernah dimiliki APMM.

27 daripada 30 buah bot telah diagihkan kepada beberapa Maritim Negeri Semenanjung Malaysia, manakala baki tiga buah bot dijangka diterima pada Ogos depan.

Nilai keseluruhan peruntukan aset baharu tersebut adalah 46.5 juta ringgit.

Dalam pada itu, APMM telah melakukan 442 tangkapan atas pelbagai kesalahan dan merekodkan RM55.8 juta hasil rampasan bermula Januari sehingga 10 Jun lalu.

Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan RHFB kelas Perkasa di Johor Bahru.

Media Baharu