fb fb fb fb fb

Kebolehpasaran graduan MARA, hampir capai 95%

Ahli Majlis MARA, Datuk Seri Hasan Malek

AYER KEROH, 8 Jun- Institusi Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (IPMA) catat kebolehpasaran graduan hampir 95 peratus dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).

Ahli Majlis MARA, Datuk Seri Hasan Malek berkata ia melibatkan 287 pusat Institusi Pendidikan MARA.

Menurut beliau, ini sekali gus menunjukkan program di bawah MARA termasuk TVET menawarkan peluang pekerjaan yang luas kepada para graduan.

"Peluang itu ada, rebutlah peluang ini melalui TVET MARA. Para pelajar bukan sahaja memiliki kompetensi yang tinggi, malah jaminan pekerjaan yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan industri memberi kelebihan kepada graduan TVET.

"Maknanya peluang sudah ada, dari segi peluang pekerjaan pun ada. Ada peluang ini, di rebutlah pelajar sekalian”, katanya kepada pemberita selepas meninjau reruai di Karnival Pendidikan dan Kerjaya MARA 2024 di Ayer Keroh, Melaka.

MARA mengalu-alukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran di Institusi Pendidikan MARA.

Karnival yang berlangsung selama dua hari yang akan berakhir esok itu, menyediakan lebih 30 reruai pempamer melibatkan institusi pengajian tinggi (IPT) dan pihak industri.

ROSLINA BINTI DIN