fb fb fb fb fb

Kebocoran gas butana di Kerteh terkawal

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad

HULU TERENGGANU, 21 September - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan hanya satu peratus gas butana masih terbebas di udara susulan kebocoran gas di Kerteh, Kemaman.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, keadaan itu bagaimanapun terkawal dan selamat, namun kepekatan gas di udara boleh berubah bergantung kepada faktor cuaca.

Beliau memaklumkan, Petronas telah memasang pembakar mudah alih di lokasi awal pagi tadi, manakala satu lagi akan dipasang sebaik tiba dari Kulim, Kedah dalam masa terdekat.

“Berdasarkan keupayaan, gas ini hanya terbakar dan tidak menyebabkan letusan. Mitigasi sedang dilakukan bagi mengurangkan risiko seminimum mungkin kepada petugas di lapangan,” katanya.

Tambah beliau, Petronas juga mempunyai keupayaan untuk mengelakkan sebarang letusan pada jarak sehingga 400 meter.

Datuk Seri Nor Hisham berkata demikian selepas menutup Program Kolaborasi Media bersama Bomba Peringkat Kebangsaan di Hutan Lipur Sekayu, Hulu Terengganu.

Program bermula semalam di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur dengan penyertaan 43 peserta Gabungan Kelab Media Malaysia.

Sementara itu, laluan dari Kerteh ke Kampung Ranggon, Kemaman masih ditutup sementara kepada semua kenderaan susulan insiden kebocoran paip gas di tapak projek Seksyen 5, ECRL di Kerteh.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE