KUALA LUMPUR, 21 September - Penduduk Kampung Sungai Baru hari ini mahu polemik berkaitan isu status tanah dan kredibiliti pemaju dihentikan segera.
Pengerusi Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus memaklumkan tanah mereka bukan Tanah Rezab Melayu, sebaliknya ia merupakan tanah pusaka menerusi Perjanjian Jual Beli dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sejak tahun 1971.
"Kami sedih jugak lah sebab isu pampasan berlarutan sampai ke tanah MAS, sampai ke tanah pusaka, paling menyedihkan sampai melibatkan Sultan Selangor, Baginda sudah maklumkan hendak Kampung Baru itu dilaksanakan projek (pembangunan) dengan sempurna sebagaimana yang dititahkan...Sultan Selangor tak pun sebut Kampung Sungai Baru, jadi mana datangnya kata kami pula tanah MAS.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada PMX ( Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebab beliau sangat mengambil berat terhadap kes kami dan kami juga hendak ucap terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa..beliau Menteri Wilayah yang terbaik, yang betul-betul nak beri pertolongan," kata beliau pada sidang media Persatuan Penduduk Kampung Sungai Baru, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sanita juga turut menafikan desas- desus yang mengatakan pemaju bagi projek pembangunan Sungai Baru ini dari negara jiran (Singapura), sebaliknya adalah pemaju tempatan iaitu KL City Gateway Sendirian Berhad.
Oleh itu, beliau bersama -sama penduduk Kampung Sungai Baru berharap projek pembangunan ini dapat disegerakan mengikut lunas undang-undang sedia ada, setelah hampir 10 tahun penantian.