Kebersihan makanan, JKNK ambil sampel di bazar Ramadan mulai esok

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 25 Februari– Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan mengambil sampel makanan secara rawak di seluruh bazar Ramadan di negeri itu bermula esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan ambil sampel makanan rawak di bazar Ramadan bermula esok.
  • Pemeriksaan fokus pada makanan berisiko tinggi seperti berasaskan santan dan pelbagai jenis minuman.
  • Keputusan analisis sampel dijangka siap dalam satu hingga dua minggu sebelum tindakan lanjut.
  • Operasi telah periksa 386 gerai, 625 pengendali; 305 premis bersih dan 620 pengendali disuntik anti-tifoid.

Tindakan tersebut bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa terjamin sepanjang bulan Ramadan.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Mohd Azman Yacob berkata pemeriksaan akan memberi tumpuan kepada makanan berisiko tinggi, termasuk yang berasaskan santan serta pelbagai jenis minuman.

Keputusan analisis sampel dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu sebelum sebarang tindakan lanjut diambil terhadap peniaga terlibat.

“Kita turut mengambil sampel air, termasuk air balang dan sebagainya, untuk dinilai dari aspek keselamatan, sekiranya terdapat pencemaran atau kehadiran kuman.”

“Ada kalanya makanan kelihatan baik, namun sebenarnya mengandungi kuman yang boleh menyebabkan keracunan makanan. Sekiranya didapati makanan tersebut tercemar, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan melalui pegawai penguat kuasa boleh mengambil tindakan sewajarnya mengikut Peraturan-Peraturan Makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Walkabout Bazar Ramadan Peringkat Negeri Kelantan 2026, di sini.

Sehingga kini, sebanyak 386 gerai bazar Ramadan serta 625 pengendali makanan telah diperiksa di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, 305 premis berada pada tahap bersih manakala 620 pengendali makanan telah menerima suntikan anti-tifoid.

Dalam operasi pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan, sebanyak 15 notis kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 atas pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Setakat ini, JKNK tidak menerima sebarang laporan atau aduan berkaitan kes keracunan makanan di bazar Ramadan.

Sebagai langkah pencegahan awal, JKNK turut melaksanakan pemantauan menyeluruh sebelum Ramadan membabitkan pusat pembekalan bahan mentah berisiko tinggi, termasuk 48 kilang pemprosesan ayam, 30 premis pembekal santan dan 27 kilang pemprosesan ais di seluruh negeri.