SEMENYIH, 4 Oktober - Keberanian sukarelawan wanita negara belayar ke Gaza untuk menyampaikan bantuan dalam Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) wajar dicontohi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, ia membuktikan kemampuan dan kekuatan wanita boleh dijadikan suri teladan kepada masyarakat untuk meneruskan perjuangan mereka.
"Enam daripada 23 individu yang ditahan merupakan wanita besi yang mempertaruhkan nyawa mereka dengan keberanian luar biasa. Mereka ditahan rejim Zionis yang kita sedia maklum tidak menghormati undang-undang antarabangsa serta terus melakukan jenayah kemanusiaan.
"Namun, mereka tetap tabah dan berani menyampaikan mesej perjuangan, dan Alhamdulillah, kini seluruh dunia mengetahui kerakusan serta kezaliman yang dilakukan. Tugas mereka telah selesai, dan kini menjadi tanggungjawab kita semua untuk meneruskan perjuangan tersebut. Semoga mereka selamat dan terus dilindungi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Inspirasi Wanita Madani, Menyulam Peradaban Ummah anjuran Pertubuhan Salwa Malaysia di sini.
Hampir 150 peserta terlibat dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sempena persidangan Majlis Perwakilan Salwa Kebangsaan 2025.
Dalam pada itu, semua rakyat di negara ini diseru agar membuat hantaran positif di media sosial berhubung misi tersebut sebagai menghargai sokongan ahli keluarga sukarelawan yang terlibat serta merestui perjuangan mereka.