PONTIAN, 4 Oktober – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Raya, di sini, meningkat kepada 156 orang setakat pukul 2.00 petang tadi.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, penduduk terjejas melibatkan lima kampung iaitu Kampung Melayu Raya, Kampung Paya Embun, Kampung Pak Kalib, Kampung Seri Menanti dan Kampung Maju Jaya.
Tinjauan mendapati hujan lebat berterusan lebih dua jam mengakibatkan kawasan berkenaan dinaiki air.
Seorang penduduk, Norhana Mohd Dasar berkata, hujan lebat beserta ribut dan petir sejak pukul 1.00 pagi menyebabkan paras air naik mendadak.
“Bangun sekitar pukul 2.00 pagi, tengok air sudah penuh di halaman rumah.
"Rumah memang tak boleh selamatkan apa-apa, air deras macam kepala air,” katanya.
Sementara itu, Semail Isnin turut berkongsi detik cemas apabila hanya menyedari rumahnya dimasuki air ketika sedang tidur.
“Sedar bila air dah sampai tepi saya. Tak sempat nak selamatkan barang.
"Paras air sampai pinggang, memang terpaksa pindah pagi tadi,” jelasnya.
Bagi Roszaidah Jaafar pula, air memenuhi rumahnya dalam tempoh hanya lima minit.
“Permaidani, kusyen semua terendam. Air kali ini memang deras, sampai lutut dan mengalir laju macam air terjun dari kawasan tinggi,” katanya.
Semua mereka kini ditempatkan di PPS Kampung Melayu Raya bagi mendapatkan perlindungan sementara.