fb fb fb fb fb

Kebenaran import ayam dan telur hanya sementara, elak kekurangan bekalan dalam negara



KUANTAN, 6 Februari- Usaha proaktif kerajaan membenarkan pengimportan daging ayam dan telur dari luar negara adalah bersifat sementara bagi menampung kekurangan bekalan tersebut di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh berkata, langkah itu diambil sementara bekalan bahan mentah itu diperlukan dalam negara kembali stabil.

Katanya, kerajaan akan menghentikan pengambilan bekalan import apabila keadaan pengeluaran ayam dan telur kembali stabil dan berharap tidak ada pengusaha yang menaikkan harga bahan mentah itu sepanjang tempoh berkenaan.

Sehubungan itu, pihaknya juga memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha menyelesaikan masalah tersebut.

“Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee telah keluarkan arahan mengimport bekalan ayam dan telur untuk tempoh tertentu. Apabila pengeluaran ayam dan telur sudah meningkat sudah pasti kita hentikan pengambilan import ini.

“Jadi, kita harap pengusaha tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya dalam situasi kekurangan bekalan ini, sebaliknya mengikut harga pasaran yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra dan mengedarkan plastik bio dalam kempen Pasar Tani Lestari dan Pintar di Pasar Tani Mega di hadapan Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini.

Mengulas lanjut, Mohd. Fasiah berkata, faktor cuaca dan bencana antara punca kepada masalah kekurangan bekalan ayam dan telur.

“Cuaca tidak menentu dengan hujan sepanjang musim Monsun Timur Laut dan bencana banjir menyaksikan pengusaha tempatan berdepan masalah untuk membekalkan ayam dan telur di pasaran. Dengan ada bekalan ayam (import) dan kerajaan pun sudah tetapkan (harga ayam) RM8.90 sekilogram, berkuat kuasa semalam jadi ia (harga) sudah berpatutan dan tidak membebankan rakyat malah pengusaha pun masih memperoleh keuntungan,” katanya.

Sebelum ini, Ronald dalam sidang akhbarnya di Besut, Terengganu pada 24 Januari lalu dilaporkan berkata, kerajaan memberi kelulusan kepada 32 syarikat bagi mengimport ayam sejuk beku dari tiga negara bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam mentah di negara ini.

Media Baharu