fb fb fb fb fb

Kebakaran rumah di Tg. Dawai, 16 keluarga terima sumbangan PM

Foto RTM

TANJUNG DAWAI, 12 Januari- Kebakaran melibatkan 13 rumah di Kampung Keda, Tanjung Dawai, Merbok, Kedah pada 5 Januari lalu, mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Sumbangan berupa wang tunai keseluruhan berjumlah RM80,000 diberikan 16 keluarga terlibat yang majoritinya terdiri daripada golongan nelayan.
  
Sumbangan disampaikan oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim yang mewakili Perdana Menteri kepada penduduk terlibat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choong Cheng, Merbok, hari ini.
 
Muhammad Kamil berkata Perdana Menteri menzahirkan rasa simpati di atas kejadian yang menimpa penduduk terlibat dan mengarahkan bantuan disalurkan kepada mereka.
 
Beliau berkata, ia merupakan bantuan susulan selepas Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, (LKIM) menghulurkan bantuan kewangan segera berjumlah RM132,000 pada 7 Januari lalu.
 
"Kita berharap dengan sumbangan yang diberikan ini daripada pihak YAB Perdana Menteri dan LKIM dapat sedikit sebanyak menampung beban keluarga yang terlibat, gunakan (wang) itu untuk mencari penempatan sementara.

Dalam keadaan sekarang ini, kita masih lagi sedang menunggu apakah status rumah tersebut dan sekiranya ada usaha untuk baik pulih itu akan dimaklumkan kemudian," kata Muhammad Kamil kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu, penduduk terlibat menzahirkan ucapan terima kasih diatas keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Perdana Menteri, mudah-mudahan dia murah rezeki panjang umur.

Kami semua terima qada dan qadar, musibah yang kami terima ini. Ini ketentuan ilahi, bukan ketentuan manusia. Rumah saya habis (terbakar) langsung sebab saya rumah papan," kata Abidin Awang.
 
"Kami sebagai mangsa di sini mengucapkan terima kasih kepada PMX atas sumbangan dan prihatin terhadap mangsa. Mungkin dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban kami untuk memulakan hidup baharu.

Keadaan rumah memang rentung terbakar, tiada yang dapat diselamatkan, kira keluar sehelai sepinggang," kata Muhamad Syafiq Burhanudin.

Dalam kejadian Isnin lalu, kesemua penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas 13 kediaman mereka musnah dalam kebakaran.
 
Kejadian turut menyebabkan seorang lelaki melecur di kaki dan tangan.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM