fb fb fb fb fb

Kebakaran di Taman Negara Bako, berjaya dipadamkan - JBPM Sarawak

Foto JBPM Sarawak

KUCHING, 24 Jun- Kebakaran hutan seluas kira-kira 10,500 meter persegi di Hutan Teluk Komeh, Taman Negara Bako, Kuching berjaya dipadamkan sepenuhnya pukul 3.00 petang tadi, hasil operasi pemadaman selama dua hari.

Menurut laporan Pusat Gerakan Bomba dan Penyelamat Sarawak, operasi bermula seawal pukul 9.00 pagi semalam selepas panggilan kecemasan diterima pada 23 Jun pukul 9.15 pagi.

Jentera bomba tiba di lokasi sejauh 22 kilometer pada pukul 9.45 pagi.

Pemadaman melibatkan penggunaan dua unit pam angkut dengan sumber air dari laut, satu aliran sepanjang 260 meter serta empat nozel.

Kawasan berbukit dan ketiadaan talian komunikasi menyukarkan operasi, ditambah faktor pasang surut laut yang membatasi akses.

Bagaimanapun, api tidak merebak besar susulan "fire break" telah dilakukan awal.

Operasi disokong 10 anggota bomba bersama dua aset logistik kereta pacuan 4 roda, serta bantuan 12 anggota dari PBS Kampung Bako Indah dan Sarawak Forestry Corporation .

Pemantauan susulan akan dilaksanakan pihak SFC bagi memastikan tiada kebakaran berulang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM