KUALA LUMPUR, 16 Julai - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap dan mengurniakan warkah penghargaan serta cenderamata kepada Dato’ Wira Zailani Hashim, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara yang akan bersara daripada perkhidmatan awam pada 18 Julai ini.
Menurut kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Wira Zailani di atas jasa dan khidmat bakti sepanjang bertugas sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara sejak 2024.
Jawatan berkenaan kini disandang oleh Tan Sri Dr Azmi Rohani sejak 1 Julai lalu. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.
Majlis berlangsung di Istana Negara, pada hari ini (16 Julai).