fb fb fb fb fb

Malaysia seru momentum lebih kukuh ASEAN-Turkiye

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia mengalu-alukan penyertaan Türkiye dalam mekanisme yang diterajui ASEAN seperti ASEAN Outlook on the Indo-Pacific/Foto Wisma Putra

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Malaysia menyeru agar momentum lebih kukuh dapat dicapai dalam pelaksanaan inisiatif di bawah kerjasama praktikal ASEAN-Türkiye.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia mengalu-alukan penyertaan Türkiye dalam mekanisme yang diterajui ASEAN seperti ASEAN Outlook on the Indo-Pacific, khususnya dalam bidang politik dan keselamatan.

Pada 11 Julai lalu, beliau mengetuai delegasi negara dalam Mesyuarat Tiga Hala antara Malaysia, Turkiye dan Sekretariat ASEAN di ibu negara.

Dalam mesyuarat itu, Malaysia turut menghargai sokongan Türkiye terhadap Forum ASEAN mengenai Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG.

"Ini termasuk penyertaan dalam sesi perbincangan, penyediaan kepakaran teknikal, dan pembiayaan projek berkaitan.

"Sokongan ini bukan sahaja memperkukuh usaha kolektif ASEAN dalam mencapai matlamat pembangunan mampan, namun turut menekankan kepentingan pertumbuhan inklusif dan kelestarian alam sekitar," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Malaysia juga menyatakan sokongan terhadap permohonan Türkiye untuk menjadi Rakan Dialog ASEAN, selaras dengan komitmen negara itu untuk memperkukuh hubungan dengan rantau Asia Tenggara.

Katanya, keseluruhan kerjasama itu selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini iaitu "Keterangkuman dan Kemampanan."

GRACE AISYAH KEDAYAN