fb fb fb fb fb

Bas persiaran terbakar di Lebuhraya MEX, 12 penumpang selamat

Keadaan bas berkenaan yang musnah hampir 90 peratus

PUTRAJAYA, 16 Julai – Seramai 12 penumpang dan seorang pemandu bas persiaran terselamat selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbakar dalam kejadian di Lebuhraya Maju Expressway (MEX), arah utara dari Putrajaya ke Seri Kembangan, pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.14 pagi.

Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh lima minit, namun bas berkenaan musnah hampir 90 peratus.

Bas tersebut membawa 12 penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke KL Sentral.

"Kesemua mangsa dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Mereka kemudiannya dipindahkan ke sebuah bas lain untuk meneruskan perjalanan", katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, punca kejadian masih dalam siasatan.

ROSLINA BINTI DIN