KUALA LUMPUR, 24 Jun – Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) disaran untuk bekerjasama secara lebih erat dengan agensi berkaitan dan penggiat industri bagi merangka satu garis panduan menyeluruh berhubung penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang komunikasi dan penyiaran.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu penting bagi menjamin keselarasan antara inovasi teknologi dan prinsip kewartawanan agar tidak menjejaskan integriti serta tanggungjawab sosial media.
“Ke depan, saya minta supaya IPPTAR bekerjasama rapat dengan MyCreative Ventures bagi membantu syarikat media dan orang ramai memanfaatkan IPPTAR sebagai pusat maklumat terkini dan latihan dalam bidang penyiaran dan penerangan, termasuk penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka IPPTAR 2025 bertemakan ‘Kuasai Komunikasi, Suara Generasi’ yang berlangsung di Angkasapuri, Kota Media, di sini hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Pengarah IPPTAR, Roslan Ariffin.
Fahmi turut menegaskan, kecekapan teknikal semata-mata tidak mencukupi dalam melahirkan tenaga kerja media yang berkaliber.
Sebaliknya, latihan harus merangkumi gabungan kemahiran, pengetahuan, prinsip dan nilai, bagi memastikan setiap individu bukan sahaja cekap dalam tugasan, tetapi juga memiliki asas moral yang kukuh dalam tindakan mereka.
“Latihan perlu berpaksikan kepada nilai dan prinsip, bukan sekadar kemahiran teknikal semata-mata,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar IPPTAR terus mengorak langkah ke hadapan dengan menerbitkan e-buku ilmiah berkaitan dunia komunikasi semasa, sebagai sebahagian usaha memperkaya wacana ilmiah dan profesional dalam bidang tersebut.