PENDANG, 20 Mei - Sebuah keluarga di Kampung Sungai Baru di sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam satu kejadian kebakaran tengahari tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengahari.
Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri dalam kenyataannya berkata 15 anggota bersama dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang dan BBP Guar Chempedak bergegas ke lokasi sebaik dihubungi.
Turut membantu empat jentera Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Tanah Merah, PBS Kota Sarang semut dan Guar Chempedak.
Tindakan pantas anggota bomba dapat memadamkan kebakaran dan tidak merebak ke kediaman lain yang terletak berdekatan.
Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 12. 54 tengahari.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.
(Kaki seorang kanak-kanak tercucuk tongkat basikal)
Sementara itu, dalam kejadian lain seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan selepas kakinya tercucuk tongkat basikal.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.54 pagi tadi di Taman Mawar, Jalan Kenari Biru PKNK, Alor Setar.
Sembilan anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang tiba membantu dengan memotong tongkat basikal tersebut menggunakan peralatan khas dan membuat perawatan awal di lokasi kejadian.
Mangsa berusia sembilan tahun, kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk mendapatkan rawatan lanjut.