fb fb fb fb fb

Had pembelian BPT kini 5 kampit

Had pembelian Beras Putih Tempatan (BPT) bersubsidi daripada dua kampit ditingkatkan kepada lima kampit./ FB Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 9 Mei- Had pembelian Beras Putih Tempatan (BPT) bersubsidi daripada dua kampit ditingkatkan kepada lima kampit bagi setiap transaksi sebagai usaha menggalakkan pengguna membeli beras tempatan dan mengelakkan lambakan stok di pasaran.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat 5 Mei lepas, lebih empat juta kampit BPT bersubsidi telah diagihkan ke seluruh negara namun sambutan daripada pengguna masih belum memuaskan.

“Inilah cabaran yang kita hadapi hari ini apabila sesuatu yang baik ditawarkan belum tentu diterima.

“Kita mahu memastikan stok BPT bersubsidi ini tidaklah berlapuk dan akhirnya dimakan bubuk.

“Realitinya, pengguna Malaysia masih cenderung memilih beras berdasarkan jenama,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Bagi mengubah corak pemilihan beras dalam kalangan pengguna, Mohamad mengumumkan pelancaran kempen nasional bertemakan ‘Saya Pilih Beras Tempatan’ yang dijadual bermula bulan hadapan.

Beliau menjelaskan, kempen itu sebagai satu gerakan untuk meningkatkan kesedaran pengguna bahawa beras tempatan bukan sahaja setanding dari segi kualiti dan rasa, malah memberi nilai ekonomi dan strategik yang besar.

“Beras tempatan dapat membantu pesawah meningkatkan pengeluaran domestik dan yang lebih penting, mengurangkan kebergantungan negara kepada import,” katanya.

MOHAN CHINNASAMY