(Datuk Seri Rina Mohd Harun berucap pada Program Keusahawanan Wanita Bangkit di sebuah hotel di Kuala Terengganu/BERNAMA)
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan untuk membantu 25,000 wanita di seluruh negara, melalui Program Wanita Bangkit@KPWKM sehingga akhir tahun ini.
Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata sejak dilancarkan pada tahun lepas, seramai 17,125 usahawan wanita terutama ibu tunggal, suri rumah dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), telah berjaya menikmati manfaat di bawah program tersebut.
“Program ini diperkenalkan kerajaan untuk membantu wanita yang terkesan akibat pandemik COVID-19, agar mereka mampu memperolehi pendapatan sendiri dan berdikari untuk membantu keluarga.
“Kita tidak sekadar bantu dari segi kewangan, malah sentiasa mengambil berat dan memantau perkembangan peserta program ini, dengan kursus keusahawanan dan bimbingan perniagaan melalui kolaborasi strategik dengan pelbagai jabatan, agensi dan syarikat korporat, untuk memastikan misi program ini tercapai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kursus bimbingan perniagaan yang dihadiri 231 peserta Program Wanita Bangkit@KPWKM Terengganu di sini, hari ini.
(Datuk Seri Rina Mohd Harun berucap pada Program Keusahawanan Wanita Bangkit di sebuah hotel di Kuala Terengganu/BERNAMA)
Melalui program itu, peserta menerima RM500 untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan tanpa perlu membuat bayaran balik dan mereka sentiasa dipantau oleh kementerian, bagi memastikan peserta sentiasa fokus dengan hasrat untuk meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga.
Terdahulu, dalam ucapannya Rina berkata usahawan wanita juga boleh memulakan perniagaan dalam bidang e-dagang, serta meneroka pasaran atas talian untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka kerana potensinya yang lebih besar berbanding perniagaan konvensional.
Katanya, kementerian mempunyai banyak skim keusahawanan yang boleh dimanfaatkan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia, untuk membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS). - BERNAMA