fb fb fb fb fb

Prasarana diiktiraf sebagai RTC kedua Asia Pasifik

Majlis menandatangani perjanjian kolaborasi antara Prasarana dan Badan Organisasi Pengangkutan Awam Antarabangsa (UITP)

SELANGOR, 8 November- Prasarana Malaysia Berhad diiktiraf sebagai Pusat Latihan Serantau (RTC) kedua di Asia Pasifik oleh Badan Organisasi Pengangkutan Awam Antarabangsa (UITP), yang berpusat di Brussels, Belgium.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, dengan adanya status RTC negara kini mempunyai pengaruh lebih besar dalam penetapan dasar pengangkutan serantau.

"Ini membolehkan Malaysia memainkan peranan aktif dalam membentuk dasar pengangkutan awam yang mampan di Asia Pasifik, menjadikan negara kita sebagai rujukan dalam pembangunan sistem pengangkutan yang lestari dan cekap.

"Salah satu lagi impaknya ialah penjanaan ekonomi melalui latihan antarabangsa," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kolaborasi antara Prasarana dan UITP di sini.

Tambahnya, RTC Malaysia dijangka menarik peserta antarabangsa ke Kuala Lumpur dan memberi impak positif kepada ekonomi negara dengan menyumbang kepada sektor perhotelan, pelancongan, dan perkhidmatan.

Menerusi kolaborasi itu lebih daripada 13,000 warga kerja Prasarana akan menerima akses langsung kepada sumber-sumber latihan bertaraf antarabangsa, termasuk sistem pengurusan pembelajaran UITP.

Prasarana juga akan dapat menawarkan program latihan dan pembangunan profesional untuk pelbagai pemain dalam industri ini, termasuk agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta di rantau ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI