fb fb fb fb fb

Kebajikan veteran ATM akan terus dipelihara - JHEV

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Kebajikan anggota serta keluarga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus dibela selepas tamat perkhidmatan.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Haji Darus berkata tumpuan diberikan terhadap usaha memperkasa kebajikan veteran menerusi pelbagai Skim Bantuan Kebajikan yang diuruskan oleh JHEV ATM.

Menurutnya, ia termasuk program keusahawanan, peluang pekerjaan dan latihan bagi melindungi kebajikan dan sosioekonomi mereka.

"Selain daripada mereka menjalani latihan peralihan di PERHEBAT, sebaik sahaja akan menamatkan perkhidmatan maka peluang-peluang pekerjaan haruslah disediakan. Baik oleh kerajaan ataupun pihak-pihak swasta. Rata-rata mereka berminat untuk menceburi bidang usahawan.

Oleh itu, bimbingan serta latihan perlu diberi kepada mereka selain peluang-peluang dalam perniagaan," kata Zambery kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.

Tambah Zambery, menerusi Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan, pertambahan bilangan renjer komuniti memberi impak positif terhadap peluang pekerjaan veteran ATM yang mana sebanyak RM60 juta diperuntukkan untuk melantik renjer daripada kalangan veteran ATM, polis dan orang asli.


(Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Haji Darus)

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya menyambut baik pengumuman bantuan oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2024.

Jelas Zambery, kesejahteraan anggota veteran ATM akan terus dipelihara menerusi beberapa peruntukan yang disediakan.

"Kita menyambut baik pengumuman bantuan sekali bayar oleh kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini iaitu bantuan RM1,000 yang akan dibayar sebelum pada Februari 2024 kepada semua anggota veteran, sama ada berpencen ataupun tidak berpencen.

Selain itu, kerajaan juga akan menyediakan dana untuk mengadakan latihan-latihan kepada veteran ATM, dengan memberi kuota yang khas kepada program-program keusahawanan, latihan-latihan teknikal TVET untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan serta pembiayaan kepada veteran-veteraan yang ingin menceburkan diri dalam bidang itu," tambahnya.

Media Baharu