fb fb fb fb fb

Keadaan banjir di Mukim Sri Medan bertambah baik

(Motosikal-motosikal yang rosak ditenggelami air, disusun ditepi jalan oleh penduduk)

BATU PAHAT, 14 Mac- Situasi banjir di Mukim Sri Medan, Batu Pahat, bertambah positif selepas beberapa laluan dan kawasan semakin surut, berbanding beberapa hari lalu.

Tinjauan Kru RTM di Mukim Sri Medan mendapati keadaan banjir di Jalan Parit Haji Ariff sedikit surut dan boleh dilalui kenderaan, dengan paras air di beberapa kawasan, kurang satu meter.

Laluan masuk ke perkampungan kawasan tersebut bagaimanapun masih dinaiki air, namun penduduk dilihat meredah laluan berkenaan, secara berjalan kaki dan bermotosikal.

Jalan Parit Haji Ariff menghubungkan pengguna jalan raya kepada beberapa kawasan penempatan, seperti Kampung Parit Simis, Parit Terus, dan Bangas.

Sementara itu, keadaan banjir di laluan Jalan Kampung Parit Warijo sedikit surut, dengan kedalaman berada kira-kira kurang satu meter.

Ketika ini, hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja dilihat keluar dan masuk di kawasan Kampung Parit Warijo.

Mukim Sri Medan menempatkan sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), daripada 109 PPS di Batu Pahat.




(Keadaan banjir yang surut di Mukim Sri Medan, Batu Pahat, Johor,
'menimbulkan' semula kenderaan  yang ditenggelami air)

Media Baharu