KULIM, 27 Julai - Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih menunggu laporan penuh berhubung siasatan kes pegawai penguat kuasa yang disyaki bersubahat dalam kegiatan 'pasport terbang' ketika bertugas di kaunter sempadan negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain untuk menguruskan kes itu mengikut prosedur ditetapkan.
"Saya akan minta laporan penuh daripada Ketua Pengarah AKPS.
Saya percaya kita telah meletakkan orang yang betul pada tempatnya untuk urus kes ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Ke-53 di Dataran Kulim, di sini.
Semalam, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat pegawai penguat kuasa yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 bagi kegiatan 'pasport terbang'.
Kesalahan itu dikesan di kaunter penyeliaan zon masuk motor, sempadan Johor-Singapura.
Susulan itu, empat pegawai penguat kuasa terlibat direman enam hari bermula hari ini.