fb fb fb fb fb

KDN terima 150,000 permohonan kewarganegaraan

(Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui wartawan selepas
Majlis Penerapan Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 6 April- Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat ini telah menerima sebanyak 150,000permohonan untuk mendapatkan status kewarganegaraan termasuk kes kanak-kanak tanpa negara.

Daripada jumlah itu, kementerian berkenaan telah membuat keputusan meluluskan atau menolak terhadap 5,700 permohonan sejak Januari lalu dengan menetapkan sasaran menyelesaikan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelbagai faktor di ambil kira pihaknya menyebabkan keputusan permohonan ditolak serta gagal memenuhi kesemua syarat keperluan dokumentasi.

Pertimbangan permohonan isu kewarganegaraan adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Saya telah membuat keputusan 5,700 permohonan setakat ini dalam keputusan itu ada yang lulus ada yang tidak, jadi yangg tidak lulus itu tentulah mempunyai sebab yang jelas.

“Paling penting adalah semasa kami membuat pertimbangan untuk membuat keputusan, kami tidak akan kompromi soal aspek keselamatan negara, soal ketulenan sesuatu permohonan yang diangkat, pemohon mesti menunjukkan komitmen yang jelas bahawa dia akan tinggal di negara ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika selepas Majlis Penerapan Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di Kuala Terengganu.


(Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Majlis Penerapan Nilai
Murni dan Iftar KDN Madani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen 
IPK) Terengganu, di Kuala Terengganu)

Media Baharu