fb fb fb fb fb

KDN sedang urus 49,000 baki permohonan kewarganegaraan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 14 Disember- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan pihaknya sedang menguruskan sebanyak 49,000 baki permohonan warganegara.

Jumlah itu daripada keseluruhan permohonan sebanyak 140,000 individu yang dikumpulkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 2013 hingga 2023.

"Kakitangan dan anggota pegawai di KDN sangat komited daripada jumlah itu yang berbaki dan sedang diuruskan adalah 49,000.

"Saya boleh berikan keputusan dalam anggaran 10,000 hingga 11,000 permohonan, ia akan ambil masa lima tahun untuk diselesaikan, sambil permohonan setiap bulan puratanya 1,000,"katanya.

Mengulas mengenai isu sama di Sarawak, beliau telah meluluskan 1,500 ratus permohonan pada tahun ini.

Kaedah dibuat menerusi pelaksanaan sesi pendaftaran bersama Jabatan Pendaftaran Negara yang dilakukan di tiga rumah panjang pada November lepas.

Sementara itu, Datuk Seri Saifuddin memaklumkan, Majlis Raja-Raja telah memberi perkenan kepada cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Hak Kewarganegaraan.

Ini termasuk meletakkan perkataan 'ibu' warganegara Malaysia bagi melayakkan anak mendapatkan kewarganegaraan secara automatik.

"Perkara utama jadi isi kandungnya, pertama kita pinda Perkara 14 (1)(b), iaitu memasukkan perkataan ibu, jadi warganegara anak boleh diperolehi sekiranya bapa atau ibu, atau keduanya sekali ini akan jadi warganegara secara kuatkuasa undang-undang,"katanya.

Pindaan turut memasukkan cadangan agar anak diberi pilihan memilih warganegara pada usia 18 tahun bagi ibu bapa yang memiliki dua kerakyatan berbeza.

Manakala bagi generasi kedua dan anak angkat, permohonan warganegara perlu dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Zurainah Musa.

Ketika ini draf pindaan perlembagaan itu sedang diperhalusi Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan ke Parlimen.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE