fb fb fb fb fb

KDN perketat kawalan pusat pemulihan dadah swasta selepas pindaan akta

Pusat pemulihan dadah persendirian perlu berdaftar dan patuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)

KAJANG, 5 Ogos - Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pusat pemulihan dadah persendirian yang tidak berdaftar atau melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), susulan pindaan terhadap Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pindaan tersebut membolehkan kerajaan memperluas kawalan terhadap pusat-pusat pemulihan swasta yang sebelum ini tidak tertakluk kepada tindakan tegas.

“Dulu kita tak boleh ambil tindakan ke atas pusat pemulihan swasta, sekarang kita boleh. Ini antara kebaikan hasil pindaan Akta Penagih Dadah yang telah kita buat sejak tahun lepas,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan i-Deen Kepulihan AADK 2025 di Ibu Pejabat AADK, Kajang.

Beliau turut mengesahkan bahawa tindakan sedang diambil ke atas sebuah pusat pemulihan swasta di Negeri Sembilan susulan insiden kematian yang berlaku di premis tersebut.

“Tindakan sedang diambil ke atas pusat yang terbabit, dan ini menunjukkan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pusat pemulihan yang gagal mematuhi peraturan dan garis panduan,” ujarnya.

HASRON BIN HASSAN