KUALA LUMPUR, 2 September - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan jenayah penyeludupan dan penyalahgunaan dadah masih memberikan kesan besar terhadap kestabilan politik, ekonomi, dan sosial negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dibangkitkan melalui Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024 yang bersidang hari ini.
Susulan itu, persidangan telah mengenal pasti dan mencadangkan 11 strategi penting yang perlu diambil oleh negara untuk menangani dan mengurangkan jenayah penyeludupan dan penyalahgunaan dadah.
Katanya, persidangan yang berlangsung hari ini menumpukan perbincangan pada 30 kertas kerja yang dibahagikan kepada empat kluster utama, iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keselamatan sempadan, keselamatan siber, dan keselamatan sosial.
"Hasil perbincangan ini akan dapat membantu KDN di dalam penyediaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13)," katanya.
Berikut adalah 11 strategi utama yang perlu dilaksanakan oleh negara:
1) Meningkatkan penggunaan teknologi canggih seperti dron, pengawasan satelit dan sistem pengesanan automatik untuk memperketat kawalan sempadan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi.
2) Memperkasa kerjasama antara agensi keselamatan di peringkat nasional dan antarabangsa bagi meningkatkan kecekapan dalam memantau dan mengekang aktiviti penyeludupan dadah di sempadan.
3) Menyediakan sumber dan dana bersesuaian untuk meningkatkan keupayaan tenaga manusia dan infrastruktur yang berdaya tahan, moden dan berteknologi tinggi.
4) Melaksanakan operasi penguatkuasaan lebih agresif di peringkat domestik dan antarabangsa secara bersepadu untuk memerangi jenayah penyeludupan, khususnya yang membabitkan dadah dan substans.
5) Memperkasa program rawatan dan pemulihan secara holistik
6) Mengukuhkan integriti dalam kalangan anggota penguat kuasa bagi menangani ancaman dadah dan substans.
7) Meningkatkan penggunaan teknologi canggih yang boleh membantu dalam mengenal pasti ancaman penyeludupan.
8) Memperkasa kerjasama antara agensi keselamatan di peringkat nasional dan antarabangsa untuk meningkatkan kecekapan dalam memantau dan mengekang aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang.
9) Memperkasa undang-undang sedia ada
10) Mengimplementasi program kesedaran awam yang menekankan pentingnya keselamatan sosial dan menggalakkan komuniti setempat untuk berperanan aktif.
11) Menggalakkan pembangunan ekonomi di kawasan sempadan untuk mengurangkan aktiviti ekonomi haram dan meningkatkan pembabitan masyarakat dalam usaha menjaga keselamatan sempadan.