KUALA LUMPUR, 2 September- Malaysia Airlines (MAS) mengesahkan bahawa penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan pada 1 September terpaksa berpatah balik awal pagi tadi berikutan isu teknikal berkaitan sistem hidraulik.
MAS dalam satu kenyataan berkata, penerbangan MH66 mengambil langkah berjaga-jaga dengan berpatah balik ke Kuala Lumpur selepas berlepas dan mendarat dengan selamat di Terminal 1 KLIA pada pukul 1.30 pagi.
"Kesemua penumpang telah diberi kemudahan penginapan di hotel dan penerbangan itu dijadualkan semula sebagai MH66D yang akan berlepas pada pukul 8.00 malam ini.
"Penerbangan pulang MH67D juga dijadualkan semula dan akan berlepas pada pukul 5.10 pagi (waktu tempatan), 3 September," katanya.
Pada masa sama MAS juga mengutamakan keselamatan dan kebajikan kesemua penumpang serta anak kapal.
Sementara itu Pengarah Hal Ehwal Pengguna dan Awam Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) Pushpalatha Subramaniam berkata penumpang penerbangan MAS ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan yang dibatalkan berhak mendapat pampasan.
Perkara itu berikutan ia termaktub bawah pindaan terbaharu Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) 2016, yang diwartakan hari ini.
"...penumpang mempunyai pilihan sama ada mereka mahu meneruskan perjalanan atau bayaran balik. Dengan penambahbaikan tiga jam dan lebih seperti yang saya sebutkan, mereka perlu membuat bayaran balik mengikut kaedah pembayaran pengguna. Jika secara tunai, mereka perlu pulangkan secara tunai, jika menggunakan kad kredit ia akan mengikut terma kad kredit.
"...dan jika dibayar menerusi mata (miles) atau apa jua berkaitan, mereka akan masukkan semula jumlah yang telah dikreditkan untuk penerbangan," katanya dalam sidang media penambahbaikan MACPC di ibu negara.