fb fb fb fb fb

KBS teliti sistem mentor-menti Rakan Muda tangani isu buli

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika ditemui media selepas Persidangan Meja Bulat Belia: Menoktahkan Budaya Buli, Membina Generasi Prihatin di Menara KBS hari ini / BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 Oktober -Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti pelaksanaan sistem mentor-menti di bawah Program Rakan Muda sebagai usaha menangani isu buli dalam kalangan pelajar dan belia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sistem itu akan melibatkan belia berpengalaman serta pekerja belia profesional sebagai mentor untuk membimbing remaja, khususnya dalam aspek kesejahteraan emosi.

“Usul paling menarik daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) adalah betapa pentingnya sistem mentor-menti yang melibatkan golongan belia yang lebih berpengalaman serta pekerja belia profesional.

Perkara ini dicadangkan supaya diwujudkan segera,” katanya selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Belia: Menoktahkan Budaya Buli, Membina Generasi Prihatin, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, sukarelawan yang terlibat perlu diberikan latihan terlebih dahulu agar bimbingan yang disampaikan tepat dan profesional.

Pelaksanaan sistem mentor-menti itu juga selaras dengan komitmen kerajaan melalui peruntukan RM5 juta dalam Belanjawan 2026 bawah inisiatif ‘Lawan Buli’.

Semua usul daripada persidangan berkenaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh tiga minggu bagi memperkukuh pendekatan merentas kementerian dan agensi.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN