KUALA LUMPUR, 16 Oktober - Bekalan barangan keperluan dijamin mencukupi dan harga jualan terkawal di ibu kota, menjelang perayaan Deepavali pada 20 Oktober ini.
Ini berikutan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 yang bermula hari ini hingga 22 Oktober.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman berkata skim itu dilaksanakan bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga mendadak.
“KPDN sentiasa komited memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga ketika permintaan tinggi. Berdasarkan pemantauan kami hari ini, bekalan barangan termasuk kambing import, telur dan sayuran mencukupi serta dijual di bawah harga kawalan,” katanya pada sidang media selepas sesi tinjauan bersempena pelaksanaan skim berkenaan.
Sebanyak sembilan jenis barangan dikawal di bawah SHMMP Deepavali tahun ini, antaranya daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, kelapa, bawang merah dan kacal dal Australia.
Penetapan harga maksimum dibuat berdasarkan faktor permintaan dan penawaran semasa, kos pengeluaran, cuaca serta kadar upah, selain mengambil kira pandangan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan pemain industri.
Sebanyak 97 anggota penguat kuasa digerakkan sepanjang tempoh skim bagi menjalankan pemeriksaan di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan." katanya.
Di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP), individu yang menjual melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.
Bagi kesalahan tidak mempamerkan tanda harga merah jambu, individu boleh dikenakan denda hingga RM10,000, manakala syarikat hingga RM20,000.
Orang ramai diminta membuat aduan sekiranya terdapat peniaga yang ingkar melalui saluran rasmi KPDN di bawah kempen KITA GEMPUR, bagi membolehkan tindakan diambil dalam tempoh 24 jam.
