BANDAR BARU BANGI, 12 Jun -Semua pihak terutama mereka yang bertanggungjawab menjaga aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tapak pembinaan, perlu menilai semula keberkesanan kawalan keselamatan, khususnya di lokasi berisiko tinggi kemalangan.
Gesaan dibuat Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Chong Chieng Jen, memandangkan tapak pembinaan adalah kawasan berisiko tinggi dan sepatutnya tidak boleh diakses oleh orang awam dalam apa jua keadaan.
Perkara itu dibangkitkan susulan kematian tragis seorang pengembara solo warga Britain berusia 25 tahun di sebuah tapak pembinaan di Bangsar baru-baru ini. Jelasnya menerusi satu kenyataan, insiden itu mengundang persoalan penting bagaimana kawasan kerja berisiko tinggi boleh diakses oleh orang awam.
Menurut beliau, Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 (Pindaan) 2022 memberi penekanan mengenai tanggungjawab majikan menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja manakala Seksyen 17 pula memberi fokus kepada orang lain yang berada di tempat kerja terbabit.
“Seksyen 17 AKKP (Pindaan) 2022 memperuntukkan bahawa majikan dan orang yang bekerja sendiri wajib memastikan, setakat yang praktik, individu lain yang bukan pekerja mereka juga tidak terdedah kepada risiko keselamatan atau kesihatan akibat aktiviti mereka.
“Majikan dan orang yang bekerja sendiri tersebut juga wajib memberi maklumat kepada individu lain yang berada di tempat kerja mereka mengenai risiko yang boleh menjejaskan keselamatan atau kesihatan mereka ketika berada di lokasi tersebut,” katanya.
Beliau turut menggesa pihak pemaju, kontraktor dan semua yang terlibat dalam projek pembinaan perlu memahami tanggungjawab mereka serta tindakan undang-undang yang bakal dihadapi jika gagal mematuhi akta berkenaan.
Berdasarkan pindaan akta tersebut, mereka yang melakukan kesalahan sedemikian boleh dkenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
“Pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan setiap tapak pembinaan dilengkapi dengan pagar perimeter yang berkesan, pengawasan keselamatan yang mencukupi, kawalan keluar masuk yang sistematik serta papan tanda amaran yang jelas dan mudah difahami,” tegas beliau.
Menurut Chong, AKKP (Pindaan) 2022 memperkukuhkan prinsip tanggungjawab bersama (shared responsibility) di antara semua pihak berkepentingan — termasuk majikan, kontraktor utama, subkontraktor, penyedia perkhidmatan keselamatan dan pemilik premis.
“Pengurusan risiko di tapak pembinaan tidak hanya terhad kepada tanggungjawab melindungi pekerja, malah ia perlu memastikan keselamatan orang awam, terutamanya di kawasan bandar yang padat dengan penduduk dan pelancong,” ujar beliau.
Beliau menambah, NIOSH memandang serius insiden tersebut dan menyeru Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk menjalankan siasatan segera dan menyeluruh, bagi menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) serta peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022.
“NIOSH sedia memberikan kerjasama dan membantu pihak berkuasa berkaitan untuk mempertingkatkan budaya keselamatan di tapak pembinaan, mempergiatkan program latihan dan kesedaran, serta membantu industri untuk memahami dan mematuhi sepenuhnya kehendak AKKP (Pindaan) 2022”.