fb fb fb fb fb

1,478 premis diperiksa sepanjang SHMMP Pesta Kaamatan, Hari Gawai

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, Matthew Dominic Barin (kiri) meninjau harga ayam mentah ketika sesi tinjauan mesra sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai di sebuah pasar raya, 29 Mei lalu / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Jun- Sebanyak 1,478 premis perniagaan di seluruh negara telah diperiksa oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelaksanaan skim tersebut merupakan langkah intervensi kerajaan bagi mengekang kenaikan harga barang keperluan semasa musim perayaan.

“Pemantauan kami menunjukkan pelaksanaan SHMMP ini berjalan lancar dengan kerjasama yang baik daripada para peniaga, dan ia membantu memastikan kestabilan harga serta melindungi kepentingan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 667 pemeriksaan dilakukan sepanjang pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan, yang melibatkan premis borong dan runcit.

Hasil pemeriksaan tersebut, dua tindakan undang-undang telah diambil ke atas peniaga yang gagal mematuhi peraturan, khususnya kesalahan tidak menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu.

Bagi SHMMP Hari Gawai pula, sebanyak 811 premis diperiksa dan sembilan tindakan undang-undang telah diambil melibatkan kesalahan yang sama, dengan sitaan bernilai RM1,647.40.

“Kesalahan paling ketara adalah kegagalan menggunakan tanda harga khas merah jambu yang diwajibkan di bawah skim ini,” jelas Datuk Azman.

Beliau turut memaklumkan bahawa KPDN tidak menerima sebarang aduan daripada pengguna sepanjang tempoh penguatkuasaan SHMMP bagi kedua-dua perayaan tersebut.

“Majoriti peniaga yang diperiksa menunjukkan komitmen dan mematuhi peraturan ditetapkan. Kementerian merakamkan penghargaan kepada pihak industri dan peniaga atas kerjasama padu dalam memastikan kejayaan pelaksanaan skim ini,” ujarnya.

Sebanyak 10 jenis barangan dikawal bawah SHMMP Pesta Kaamatan 2025, meningkat berbanding lapan barangan pada tahun sebelumnya. Dua barangan tambahan ialah bawang besar kuning import dan bawang besar merah import.

Sementara itu, SHMMP Hari Gawai 2025 menyaksikan kawalan ke atas 11 jenis barangan, berbanding lapan pada tahun 2024, dengan penambahan kelapa biji, kelapa parut dan santan.

SHMMP Pesta Kaamatan telah dilaksanakan dari 27 Mei hingga 2 Jun, manakala SHMMP Hari Gawai bermula 29 Mei hingga 4 Jun. Tempoh pelaksanaan bagi kedua-dua skim adalah selama tujuh hari, iaitu tiga hari sebelum perayaan, satu hari semasa, dan tiga hari selepas perayaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE