KUALA LUMPUR, 12 Mac - Sistem Saringan Awal Penumpang (APS) akan mula digunakan sepenuhnya pada Disember ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata, pelaksanaan itu sebagai langkah penambahbaikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengawal keberadaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini.
"Melalui sistem ini, penumpang akan disaring seawal 72 jam sebelum berlepas ke Malaysia untuk memastikan hanya pengembara tulen sahaja yang akan dibenarkan masuk ke dalam negara," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Azahar Hassan di Dewan Negara hari ini.
Selain itu, bermula Januari tahun depan, KDN akan mewajibkan semua pelawat yang ingin keluar dari Malaysia menggunakan sistem pemeriksaan imigresen secara elektronik di balai pelepasan.
Usaha itu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan keselamatan di pintu masuk dan keluar negara.