fb fb fb fb fb

Karnival Kita Madani Pulau Pinang dapat sambutan baik masyarakat

(FOTO RTM)

KEPALA BATAS, 24 September -Sambutan baik diberikan masyarakat setempat menerusi pelaksanaan Karnival Kita Madani Pulau Pinang.

Karnival yang dilaksanakan di dalam kawasan masjid Asy-Syakirin, Permatang Sintok, meriah dengan pelbagai aktiviti melibatkan semua peringkat usia.

Pertandingan mewarna, sukaneka, pertandingan azan dan pertandingan membuat kerabu, antara aktiviti yang mewarnai karnival tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata program tersebut dapat merapatkan silaturahim sesama komuniti.

Sekali gus, dapat menyemarak hubungan antara pemimpin dan rakyat dalam memenuhi aspirasi Malaysia Madani.

"Saya dapat lihat juga mereka seronok datang kerana banyak aktiviti pada program berkenaan.

"Saya turut melihat program sebegini menjadi program rentas ideologi, politik, budaya dan ras.

Kebanyakan pengunjung karnival yang ditemui berkata program tersebut merupakan kesempatan bagi melakukan aktiviti bersama keluarga.

Salah seorang pengunjung, Mohamad Hasrul Azli Hareh yang ditemui berkata program berkenaan merupakan jambatan bagi mengeratkan silaturahim di kalangan penduduk setempat.

"Program sebegini dapat mengeratkan silaturahim di antara para penduduk selain pengisian program yang lebih terarah kepada kanak-kanak", katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta karnival berkenaan, Ahmad Halimi Hamdi berkata karnival sebegini perlu diadakan dengan lebih kerap agar semua golongan dapat berkumpul dan berinteraksi sesama sendiri.

"Saya berasakan program sebegini perlu diadakan lebih kerap agar semua golongan tidak kira umur dapat berkumpul dan beramah mesra", katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Selain itu, tujuh kaunter pameran dan perkhidmatan turut dibuka dalam karnival tersebut.

Karnival berkenaan berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 1 tengah hari tadi.


(Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican)

Media Baharu