AYER KEROH, 11 Mac- Karnival Kerjaya My Future Job Career Trans 2023 Negeri Melaka membawa pelbagai jenis peluang pekerjaan terutama graduan lepasan universiti yang baru sahaja menamatkan pengajian.
Ia juga antara inisiatif lain untuk golongan muda mencari pengalaman temuduga selain membina karier mereka.
Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka, sebanyak 6,500 peluang pekerjaan melibatkan 36 majikan tersedia dalam karnival tersebut.
Malah 10 peratus daripada peluang pekerjaan tersedia buat pencari kerja dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, program seperti karnival kerjaya ini bukan sahaja memberi peluang kepada pencari kerja, malah dapat membantu kerajaan negeri mengurangkan kadar pengangguran di negeri tersebut.
Beliau berkata, pada suku ketiga 2022 yang lalu, Melaka mencatatkan 2.6 peratus kadar pengangguran berbanding kadar pengangguran nasional pada kadar 3.7 peratus.
(Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali)
"Jadi itulah sebabnya program-program sebegini diadakan setiap tahun. Kalau ini dapat dilaksanakan dan ada kesedaran daripada pencari-pencari kerja atau pun mereka yang baru nak bekerja.
"Kalau dia memahami dan boleh mendapatkan keterangan lanjut di sini, saya yakin sebahagian daripada usaha yang kita buat ini akan dapat mengurangkan lagi kadar pengangguran dalam negeri", katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kerjaya My Futurejob Career Trans 2023 di MITC, Ayer Keroh.
Menerusi tinjauan RTM, karnival tersebut dihadiri oleh hampirĀ 1,000 pengunjung yang merupakan individu yang sedang mencari pekerjaan.
Selain itu, seramai 72 orang kurang upaya (OKU) turut hadir pada hari pertama karnival tersebut.
Lebih 6,000 peluang pekerjaan tersedia di Karnival Kerjaya My Futurejob Career trans 2023 yang bermula hari ini sehingga esok di Pusat Dagangan Antarabangsa MITC Ayer Keroh.
Program ini adalah kerjasama antara Kerajaan Negeri Melaka dan PERKESO.