Karnival Demi Paya Rumput himpun 101 program untuk komuniti

Semangat kebersamaan warnai Karnival Demi Paya Rumput/Foto RTM

BUKIT RAMBAI, 8 Februari – Sebanyak 101 program diatur sepanjang Karnival Demi Paya Rumput yang bermula hari ini hingga 15 Februari depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Karnival Demi Paya Rumput mengandungi 101 program sepanjang 7 hari, bermula hingga 14 Februari.
  • Platform untuk pemimpin tempatan mendekati rakyat dan memastikan kebajikan serta kesejahteraan komuniti terpelihara.
  • Aktiviti termasuk Selawat Perdana, Konsert Amal Si Hitam Manis, sesi Aduan Rakyat dan gotong-royong perangi Aedes.
  • Majlis penutup akan disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada 14 Februari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata penganjuran karnival itu menjadi platform pemimpin setempat mendekati rakyat bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Exco Kanan Melaka itu berkata karnival berkenaan yang dikhususkan kepada warga DUN Paya Rumput turut menjadi tanda penghargaan atas sokongan, kebersamaan dan semangat perpaduan yang ditunjukkan penduduk.

“Seperti yang saya nyatakan, pilihan raya DUN hanya dijangka berlangsung pada September, tempohnya masih panjang. Saya tidak mahu rakyat merasakan wakil rakyat jauh daripada mereka, jadi kita bawa pendekatan turun padang melalui program ini.

“Pada 13 Februari, kita akan adakan sesi aduan rakyat. Dengan jumlah penduduk sekitar 91,000 orang merangkumi 42 taman, 11 kampung warisan dan satu JPKKB, kita akan usahakan penglibatan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pembukaan Karnival Demi Paya Rumput dan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Bil.1/2026 Peringkat Negeri Melaka di Taman Rambai Jaya.

Datuk Rais berkata antara program yang disusun sepanjang seminggu penganjuran termasuk Selawat Perdana, Konsert Amal Si Hitam Manis dan sesi Aduan Rakyat.

Majlis penutup karnival akan disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada 14 Februari ini.